Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata hutan paya bakau dan tanah gambut di Sarawak merupakan komponen penting kepada usaha penyerapan karbon Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Premier Sarawak, Abang Johari Openg menggesa Sabah dan Sarawak diberikan sekurang-kurangnya 70% daripada hasil cukai karbon dikutip Putrajaya memandangkan dua negeri itu merupakan penyerap karbon utama Malaysia.
Menurutnya, kerajaan persekutuan perlu mengiktiraf sumbangan dua negeri itu kepada alam sekitar.
“Kita adalah penjaga karbon dan turut menghasilkan oksigen melalui proses fotosintesis,” katanya menurut Borneo Post dalam satu majlis makan malam di Kuching malam tadi.
“Undang-undang perlu adil. Dasar karbon Malaysia bergantung sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak,” katanya sambil menambah hak karbon perlu dipelihara di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
Beliau berkata, komuniti peribumi, sebagai penjaga hutan, perlu menerima manfaat secara langsung daripada dasar berkaitan karbon.
Katanya, beliau sudah membincangkan perkara itu dengan Putrajaya.
Jelasnya, hutan paya bakau dan tanah gambut di Sarawak merupakan komponen penting kepada usaha penyerapan karbon Malaysia. Di luar Pahang, sebahagian besar Semenanjung Malaysia kekurangan kanopi hutan luas yang mampu menyerap karbon dengan banyak.
Beliau mengulangi seruannya untuk pakatan iklim dan ekonomi membabitkan Sarawak, Sabah, Kalimantan serta Brunei, yang dicadangkannya kepada Dewan Perniagaan Indonesia tujuh bulan lalu.
“Kita memerlukan platform bersama kerana Borneo terletak di tengah-tengah Asia,” katanya.
Borneo yang juga pulau ketiga terbesar di dunia, dihuni kira-kira 23 juta penduduk dan kekal kira-kira 60% diliputi beberapa hutan hujan tertua di dunia.


