Najib Samuri berkata fokus utamanya adalah meningkatkan jumlah sokongan rakyat kepada Barisan Nasional.
BATU PAHAT: Calon Barisan Nasional (BN) DUN Parit Yaani, Najib Samuri, yang menyasarkan 15,000 undi menyifatkannya berdepan cabaran besar apabila bertembung satu lawan satu dengan Ezam Taslim iaitu ‘orang kanan’ ketua Pakatan Harapan (PH) Johor pada PRN 11 Julai ini.
Katanya, walaupun Ezam dianggap calon baharu, kedudukannya sebagai naib ketua Amanah Sri Gading dan pegawai khas kepada Aminolhuda Hassan menjadikan cabaran di Parit Yaani bukan mudah.
“Pada saya soal kata mudah itu…tak mudah. Masih ada cabaran sebab segala pergerakan beliau (Ezam) melambangkan pergerakan Aminolhuda sendiri.
“Bila dia bertanding, umpama Aminolhuda yang bertanding di Parit Yaani. Jadi, kita tak pernah mengambil mudah persaingan di sini,” katanya dalam temu bual FMT.
Pada PRN Johor 2022, Najib mendapat 9,070 undi mengalahkan Aminolhuda (8,776), calon Perikatan Nasional Ahmad Nawfal Mahfodz (5,435) dan Ridhauddin Tahir daripada Pejuang (239) dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti diperolehnya hanya 294.
Parit Yaani terletak bawah Parlimen Sri Gading, yang juga mengandungi DUN Parit Raja. Ahli Parlimen Sri Gading adalah Aminolhuda.
Najib berkata, dalam pertandingan dua penjuru antara BN dan PH kali ini, fokus utamanya bukan majoriti kemenangan sebaliknya meningkatkan jumlah sokongan rakyat kepada BN.
“Tapi bila presiden (Zahid Hamidi) kata kalau boleh mahu majoriti empat angka, insya-Allah kita usahakan,” katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, pengalaman berdepan pertandingan empat penjuru pada PRN lalu yang menyaksikannya menang tipis masih segar dalam ingatan.
Katanya, ketika itu dia menewaskan penyandang dua penggal daripada Amanah iaitu Aminolhuda selain calon PN daripada PAS dan Pejuang.
“Saya sebenarnya masih teringat ketika bertembung empat penjuru pada PRN ke-15, calon PH ketika itu penyandang dua penggal yang juga ketua Amanah Johor dan bekas exco. Calon PN pula ketua Pemuda PAS Johor dan satu lagi calon daripada Pejuang. Memang sengit ketika itu,” katanya.
Mengulas isu tempatan, Najib berkata tiada perkara besar membelenggu Parit Yaani ketika ini kerana beberapa masalah pembangunan, projek sakit dan tebatan banjir berjaya diselesaikan sejak beliau menjadi wakil rakyat.
“Malah, sejak saya mengambil alih pada 2022, kita berjaya selesaikan beberapa projek sakit dan hari ini di Parit Yaani sudah tidak ada lagi projek sakit,” katanya.
Najib berkata, beliau turut mengambil serius kekuatan jentera PH memandangkan Aminolhuda pernah menjadi calon di kawasan itu dan mempunyai pengaruh di Parlimen Seri Gading.


