Mustapa Mohamed dan Noh Omar antara bekas pemimpin Umno yang menyertai semula parti bawah inisiatif Rumah Bangsa digerakkan Zahid Hamidi.
PETALING JAYA: Kemasukan semula bekas pemimpin Umno seperti Noh Omar dan Mustapa Mohamed mampu memberikan suntikan semangat merampas kembali kerusi tradisi, namun tidak cukup untuk membantu parti itu kembali dominan di peringkat nasional, kata penganalisis.
Bercakap kepada FMT, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara mengakui kepulangan bekas Ahli Parlimen Jeli dan Tanjong Karang boleh mencetuskan semangat positif buat parti.
Bagaimanapun, beliau berpendapat peranan pemimpin veteran seperti Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa dan Noh sepatutnya terhad sebagai penyokong atau penimbal di belakang tabir, bukannya kembali diletakkan sebagai calon pilihan raya.
“Kalau Tok Pa itu hendak digunakan untuk merampas kembali Jeli, tak semestinya beliau dijadikan calon. Saya rasa tak sesuai kerana ramai lagi anak muda yang seharusnya mampu merampas Jeli dengan bantuannya.
“Sama juga dengan Noh, Tanjong Karang memang sinonim dengan beliau. Tapi hakikatnya, perlu diberi peluang kepada orang lain yang lebih muda dan Noh membantu sebaik mungkin di belakang calon,” katanya.
Sebagai rekod, Mustapa keluar Umno selepas menang Parlimen Jeli pada PRU14 dan menyertai Bersatu, kemudian meletakkan jawatan sebagai ahli dan semua jawatan dalam parti itu pada 30 Sept 2023.
Beliau tidak mempertahankan kerusi Jeli pada PRU15.
Noh pula dipecat Umno pada 2023 dan tidak dipilih semula mewakili Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan Parlimen Tanjong Karang.
Dua kerusi itu dirampas oleh Perikatan Nasional (PN) pada PRU 2022.
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, mengesahkan penyertaan semula Mustapa dan Noh ke parti itu bawah inisiatif Rumah Bangsa digerakkan Presiden Zahid Hamidi.
Mereka menyusuli bekas pemimpin utama Umno dan menteri termasuk Khairy Jamaluddin, Hishammuddin Hussein serta Syed Hamid Albar.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula berkata, Khairy dan Hishammuddin mungkin boleh membantu membawa Umno serta BN keluar daripada ‘kegelapan’ sejak pasca PRU14
“Mereka membawa imej lebih urban dan progresif,” katanya yang menyifatkan bergantung kepada pemimpin lama lain hanya langkah kosmetik.
“Ia tidak akan melonjakkan imej Umno di peringkat nasional.
“Malah, menonjolkan kelemahan struktur parti yang gagal melahirkan pemimpin baharu dengan daya tarikan nasional,” katanya.


