Pegawai Jabatan Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan MPKB menemui pemilik premis dan penganjur program bagi mendapatkan penjelasan semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengeluarkan kompaun RM25,000 kepada pemilik sebuah premis perniagaan di tepi Sungai Kelantan kerana menganjurkan program hiburan tanpa lesen sah yang bertemakan disko retro dan hipi 60-an, 70-an serta 80-an pada 3 Julai lalu.
MPBK berkata, kompaun itu dikeluarkan semalam selepas pegawai Jabatan Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaannya menemui pemilik premis dan penganjur program bagi mendapatkan penjelasan.
“Pertemuan itu bertujuan menyiasat serta memberi penjelasan mengenai kesalahan yang dilakukan penganjur, khususnya di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2025.
“Beberapa kompaun lain turut dikeluarkan terhadap pemilik premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019,” katanya dalam kenyataan.
Jika pemilik restoran itu gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh tujuh hari, tindakan pendakwaan akan diambil mengikut undang-undang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.
MPKB menegaskan penguatkuasaan akan diperkukuhkan terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar undang-undang dan syarat pelesenan bagi memastikan setiap aktiviti hiburan serta perniagaan dijalankan mengikut peraturan.

