Pasport 10 tahun itu akan dikenakan bayaran RM350, manakala pasport lima tahun kekal pada harga RM200.
PETALING JAYA: Rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk memohon pasport antarabangsa baharu dengan tempoh sah laku sehingga 10 tahun bermula esok, kata Kementerian Dalam Negeri.
Kementerian itu berkata warganegara berumur 18 tahun ke atas boleh memilih antara pasport lima tahun atau 10 tahun, bergantung kepada keperluan masing-masing.
“Pengenalan pasport 10 tahun dijangka mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport, menjimatkan masa pengguna, dan memudahkan perjalanan dalam serta luar negara,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan selepas pelancaran pasport tersebut oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.
Pasport 10 tahun itu akan dikenakan bayaran RM350, manakala pasport lima tahun kekal pada harga RM200.
Kementerian itu berkata berkata pilihan pasport 10 tahun akan menjimatkan RM50 berbanding pembaharuan pasport lima tahun sebanyak dua kali dalam tempoh yang sama.
Ia menambah bahawa pasport baharu itu dilengkapi 94 ciri keselamatan, meningkat daripada 49 pada versi sedia ada, termasuk corak guilloche, imej terpendam, cetakan pelangi, modulasi lebar garisan, hologram dan cetakan ultraungu bagi mengelakkan pemalsuan dan pengubahsuaian.
Imej bunga raya akan digantikan dengan rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing, yang menurut kementerian melambangkan biodiversiti dan warisan semula jadi negara.
Pelaksanaan akan dilakukan secara berperingkat di 71 pejabat pasport seluruh negara, kata kementerian itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa menukar pasport yang masih sah kerana ia boleh digunakan sehingga enam bulan sebelum tarikh luput.


