Satu video tular mendakwa menantu Rosmah Mansor membeli rumah agam bernilai USD13 juta itu pada Julai 2025 sebelum memindahkannya kepada satu syarikat kononnya terkait ahli perniagaan Daing A Malek Daing Rahaman, bulan lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau membeli dan memindahkan milik sebuah rumah agam di Amerika Syarikat (AS) yang dikatakan bernilai USD13 juta, atau sekitar RM52.7 juta.
Satu video tular mendakwa, rumah agam itu dibeli pada Julai 2025 oleh menantu Rosmah, Daniyar Kessikbayev, sebelum dipindahkan milik pada bulan lalu kepada sebuah syarikat didakwa mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan, Daing A Malek Daing Rahaman.
Rosmah berkata, video tersebut mengandungi dakwaan palsu dan berunsur fitnah bertujuan memperdayakan orang ramai serta membawa kemudaratan besar dan tidak boleh diperbaiki terhadap reputasinya termasuk keluarga.
“Tidak pernah pada bila-bila masa saya terlibat dalam pembelian, pembiayaan, pemindahan milik atau pemilikan mana-mana hartanah mewah – termasuk mana-mana hartanah didakwa bernilai USD13 juta – mahupun saya membiayai, memudahkan, atau dalam apa jua cara sekalipun mengatur transaksi sedemikian bagi pihak menantu atau mana-mana individu atau entiti lain.
“Dakwaan mengaitkan saya dengan penggunaan syarikat cengkerang, struktur kewangan pesisir pantai, atau hubungan dengan mana-mana individu atau entiti yang dinamakan dalam video-video ini adalah tidak berasas sama sekali, cukup palsu, dan sengaja direka-reka dengan niat jahat.
“Ia langsung tidak disokong oleh apa jua bukti boleh dipercayai dan tidak lebih daripada satu kempen dirancang dan disengajakan untuk memfitnah saya serta membawa kehinaan kepada keluarga saya,” katanya dalam kenyataan.
Rosmah berkata, beliau membuat laporan polis hari ini supaya polis dapat menyiasat perkara berkenaan secara menyeluruh, termasuk menyiasat mereka yang menyebarkan dakwaan palsu terhadap dirinya.
Beliau menyeru semua platform media sosial menurunkan video tersebut dan menyekat penyebaran kandungan berunsur fitnah itu.
“Saya dengan ini menyerahkan semua hak yang ada pada saya di sisi undang-undang, termasuk hak untuk memulakan prosiding sivil dan meneruskan tindakan jenayah terhadap mana-mana pihak yang telah menerbit, menerbitkan semula, berkongsi, atau terus menyebarkan dakwaan palsu dan memudaratkan ini,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Daing dipetik Bernama sebagai berkata, dakwaan tersebut ‘mengelirukan’ dan ‘sama sekali tidak benar’. Beliau memberi amaran mereka yang menerbit atau menerbitkan semula kenyataan fitnah itu boleh berdepan tindakan undang-undang.
Daing juga telah membuat laporan polis berhubung video berkenaan.

