Presiden Muhyiddin Yassin berkata pendirian Bersatu adalah jelas untuk terus bersama PN.
PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan Bersatu akan kekal dalam Perikatan Nasional (PN) ‘sampai bila-bila’.
Beliau turut mengulangi Bersatu akan menggunakan logo PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan akan datang.
“Ada yang persoalkan kita ini masih dalam PN atau tidak. Saya nak tegaskan, sampai bila-bila pun kita akan kekal dalam PN.
“Kita akan pakai logo PN untuk PRN Johor dan Negeri Sembilan,” kata presiden Bersatu ketika berucap dalam pelancaran jentera PRN Johor.
Muhyiddin berkata, cadangan supaya Bersatu menggunakan logonya sendiri juga menimbulkan persoalan mengenai lambang yang akan digunakan parti lain dalam PN.
“Kalau terpaksa guna logo Bersatu, calon-calon lain nak pakai logo apa? Sampai sekarang pun tidak ada perbincangan mengenainya,” katanya.
Katanya, pendirian Bersatu adalah jelas untuk terus bersama PN walaupun timbul pelbagai spekulasi mengenai kedudukan parti itu dalam gabungan.
Pada 16 Jun lalu, Bersatu meneguhkan pendirian untuk kekal dalam PN di sebalik kemelutnya dengan PAS.
Muhyiddin berkata, Bersatu bertegas dalam hal itu kerana ia yang memulakan PN, dan akan bertanding pada pilihan raya atas lambang gabungan itu.
Sebelum ini, Presiden PAS Hadi Awang dan Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, terpulang kepada Bersatu sama ada mahu kekal atau keluar gabungan, selepas parti berkenaan memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.


