Mahkamah Majistret Kuala Krai mengarahkan Mat Saair Setapa dihukum penjara sebulan jika gagal bayar denda RM1,000 selepas mengaku salah mendatangkan kecederaan terhadap seorang anggota polis pada 12 Jun lalu. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Krai di Kelantan atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anggota polis.
Majistret Amal Razim Alias menjatuhkan hukuman itu ke atas Mat Saair Setapa, 66, dan memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda itu, lapor Bernama.
Bagaimanapun, tertuduh dibawa ke penjara selepas gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Mat Saair didakwa sengaja mendatangkan kecederaan ke atas anggota polis berusia 29 tahun itu dengan menampar pipi kanan mangsa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sungai Rek di Kuala Krai, kira-kira 6.30 petang pada 12 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Menurut fakta kes, Mat Saair ditahan selepas menolak anggota polis dari belakang serta menampar pipi kanannya selepas diminta menunjukkan kad pengenalan diri.


