Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata dron menjadi pemangkin penting dalam sektor pertahanan, aktiviti awam, dan perladangan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu penerimagunaan dan pembangunan teknologi baharu terutama dalam industri kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) atau dron dipercepat.
Katanya, industri dron yang saling berkait dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital, muncul pemangkin kukuh untuk inovasi, produktiviti, dan pertumbuhan ekonomi.
“Jika Malaysia ingin menjadi negara yang lebih berjaya dari segi ekonomi, kita mesti pantas membangunkan teknologi dan bidang baharu.
“Dron berkait dengan teknologi digital dan AI, dan kita perlu membina ekosistem yang sesuai dan wajar untuknya,” kata menurut Bernama pada majlis penutup MyDrone Expo 2026 (MDX2026), di Sepang.
Ekspo tiga hari anjuran bersama World UAV Federation (WUAVF) Cawangan Malaysia dengan Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (MUDA) itu menampilkan lebih 100 reruai dan menarik ribuan pengunjung serta perwakilan industri dari 46 negara.
Anwar yang juga menteri kewangan, berkata pasaran UAV global diunjurkan bernilai lebih USD55 bilion menjelang 2030, manakala sektor ekonomi ekosistem ruang udara bersepadu kini menjadi pemacu pelaburan yang semakin penting.
Bagi merebut peluang ini, beliau menggesa penggubal dasar, pertubuhan penyelidikan sains dan semua agensi berkaitan untuk memberikan sokongan kawal selia dan ekosistem yang sepenuhnya kepada industri tersebut.
“Dasarnya jelas. Dron dan industri berkaitan diberi sokongan penuh, bukan sahaja untuk industri tentera udara dan pertahanan tetapi juga untuk aktiviti awam, seperti perladangan, bagi meningkatkan produktiviti,” katanya.
Bagi memacukan lagi industri ini, perdana menteri berkata kerajaan komited untuk menambah baik rangka kerja kawal selia, mempertingkat pembiayaan penyelidikan, pengujian dan pensijilan.
Beliau juga menggesa kerjasama yang lebih erat antara pihak swasta, pertubuhan penyelidikan kerajaan dan universiti untuk merangka pembangunan bakat yang mantap dalam bidang AI dan teknologi fizik kuantum.


