Armizan Mohd Ali meninjau persediaan sebuah stesen minyak di Putrajaya bagi pelaksanaan Budi Madani Diesel (Budi Diesel). (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan penambahbaikan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api termasuk diesel dengan mengambil kira kos sara hidup rakyat, risiko ketirisan dan kedudukan fiskal negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata mesyuarat Kabinet semalam membincangkan status pelaksanaan empat inisiatif penyasaran subsidi bahan api.
Inisiatif terbabit ialah Budi Madani Diesel (BUDI Diesel), Budi Madani RON95 (BUDI95), Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
“Perdana menteri telah mengarahkan penambahbaikan dilaksanakan terhadap beberapa aspek untuk memastikan maklum balas rakyat disantuni melalui strategi dan pendekatan mengambil kira faktor kos sara hidup, pengurusan risiko ketirisan, serta kedudukan dan ruang fiskal negara,” katanya dalam kenyataan.
Armizan berkata antara penambahbaikan bagi penyasaran subsidi diesel di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ialah peluasan bantuan kepada peniaga kecil yang menggunakan kenderaan diesel jenis jip dan pikap.
Katanya, ia membabitkan kenderaan didaftarkan atas nama perniagaan atau syarikat di bawah kelas atau kod kegunaan persendirian perniagaan.
Menurutnya, sebelum ini kelayakan subsidi diesel hanya terhad kepada kenderaan didaftarkan atas nama individu di bawah Budi Diesel, manakala kenderaan perniagaan atau syarikat pengangkutan barangan pula di bawah SKDS.
“Kerajaan juga akan menyemak pelarasan kadar kuota tetap bagi beberapa jenis kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah SKDS,” katanya.
Armizan berkata semakan itu bukan sahaja mengambil kira purata penggunaan mengikut jenis kenderaan, tetapi faktor teknikal seperti Berat Dengan Muatan (BDM), kapasiti enjin, kategori lori, tahap penggunaan bahan api dan pola operasi kenderaan.
Katanya, melalui SKDS, kadar penggunaan dan jumlah perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan bagi setiap kenderaan serta syarikat berdaftar akan direkodkan.
“KPDN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan diarahkan mengambil tindakan susulan segera bagi melaksanakan keputusan dasar Jemaah Menteri itu,” katanya.
Katanya, tindakan itu termasuk mengenal pasti mekanisme penyaluran yang bersesuaian, selain menilai keperluan mengubah suai dan mengintegrasikan sistem pelaksanaan sedia ada.
Berhubung Budi Diesel bermula 1 Jul, Armizan berkata sebanyak 10 syarikat minyak iaitu Petronas, Shell, Petron, Caltex, BHPetrol, Five, Smart Stream, Xcel, Petros dan IPTB mengesahkan kesiapsiagaan masing-masing bagi pelaksanaan Budi Diesel.
Jelasnya, sebanyak 4,146 stesen minyak di seluruh negara juga bersedia pelaksanaan penuh mekanisme subsidi itu yang membolehkan pengguna layak membeli diesel bersubsidi pada kadar RM2.10.
Projek rintis bermula hari ini bagi menguji kestabilan sistem, dengan akses awal diberikan kepada penerima layak di stesen minyak di Semenanjung pada harga runcit RM2.15 seliter.


